I Am Sensitive

I Am Sensitive

Tuesday, September 15, 2015

Quran Buruk Ku Di Kampung



Hello Diary,

Jumpa lagi kita. Alhamdulillah, kita dipanjangkan umur untuk bersua lagi. Aku harap engkau tidak pernah bosan untuk membaca coretan coretan aku yang tidak seberapa ini. Hanya nukilan seorang insan biasa yang tidak pernah jemu menulis walaupun kadang kala tulisannya membuatnya dibenci dan disalah faham. Pernah aku ingin berhenti menulis kerana aku rasakan tulisan aku hanya membawa duka di hati tetapi dengan menulis sahaja aku dapat meluahkan isi hati. Aku tidak ada channel lain yang aku boleh guna selain menulis jadi aku yakin menulis ini adalah my cup of tea. Biarkan sahaja jikalau tulisan aku mengundang kebencian kerana aku tidak boleh menyenangkan semua manusia dan begitu juga sebaliknya. Kita semuanya sama, manusia biasa yang meminjam masa daripada Tuhan untuk bernafas di dunia yang sementara ini. 

Terasa rindu yang amat sangat kepada kedua Quran buruk ku. Mereka sudah berada di kampung semenjak dua hari lalu. Aku tinggalkan mereka di sana kerana itulah kehendak mereka. Mereka sudah bersara jadi di kampunglah mereka ingin menghabiskan masa masa tua. Bukan untuk bercucuk tanam, tetapi untuk mencari kedamaian menghirup udara kampung yang jauh lebih tenang daripada di kota singa ini. Aku mengaku bahawa aku berasa sedih sekali bila pulang ke Singapura tanpa mereka. Sebak di dada terasa tetapi aku sembunyikan perasaan itu. Aku tidak mahu menunjukkan sangat pada Quran buruk ku. Sememangnya hati aku memang sudah dilanda badai, ribut dan taufan tetapi apa hak aku untuk melepaskan kepada mereka. Mereka adalah dua insan yang patut aku sanjung. 

Dengan berat hati aku pulang tanpa mereka dan dalam diam aku berdoa supaya mereka selamat. Aku risau sebenarnya. Dalam fikiran aku, macam mana nanti kalau mereka mahu ke kedai atau mahu ke mana mana. Ibuku jarang memandu. Walaupun punyai kereta sendiri tetapi dia sudah bertahun tidak memandu, jadi bila dia memandu memang banyak sekali kekurangannya. Aku risau memikirkannya. Tapi aku yakin dengan kecekalan hati ibuku, satu hari nanti dia akan memandu dengan bagus. Sama sahaja dengan aku masa mula mula aku memandu. Dapat sahaja lesen aku terus memandu di Kuala Lumpur. aku masih ingat lagi masa masa itu. Aku sudah berpindah ke sana tetapi lesen kereta masih belum ada. Susah betul rasanya mahu pass. Genap dua bulan aku pindah ke KL, aku pun pass dan ayah aku terus membelikan aku kereta kancil. Dengan kancil itulah juga aku mencipta kenangan di KL. Ada yang baik, gembira, sedih, sakit, marah dan macam macam lagi. Tetapi sekarang aku hanya ingin mengingati yang baik baik sahaja. 

Sekarang, dengan wang yang ada, aku belikan pula ayah aku motor. Tidak mahal, hanya second hand sahaja untuk dia pergi ke kedai atau ke mesjid. Comel motosikalnya. Warnanya pink dan aku juga membelikan helmet pink untuknya.  Biar matching dan yang penting warna kegemaran ayah aku juga pink! Sekurang-kurangnya, ayah aku tidak perlu lagi mengharap orang lain membawanya ke mana dia mahu pergi. Bila sudah bermotor, senanglah untuk dia. Budget aku cuma rm4000 sahaja, tetapi harga motor sekali dengan grant dan road tax dan helmet adalah rm3400. Second hand sahaja yang aku mampu Diary tetapi motor itu cuma tahun 2013. Jadi baru sahaja berusia 2 tahun. Engine nya masih bagus dan sangat sesuai untuk ayah aku. Motornya kecil, tidak berat dan senang untuk ayah aku naik. Engkau tahu kan ayah aku bertongkat dan gemuk pula. Aku rasa berat badan dia lebih berat dari motor itu. Hehehe…

Aku tahu dia gembira dengan motornya dan aku juga suka melihat dia gembira. Ayah, anakmu ini cuba buat yang terbaik untukmu. Mungkin anakmu ini adalah seorang yang jahat pada mata orang lain, tetapi cukuplah jikalau engkau tidak menganggapnya jahat. Hanya restu dan doa dari engkau yang boleh menguatkan semangat anakmu ini. Sekarang, aku harus pulihkan semangat aku. Cukuplah untuk melihat kedua Quran buruk ku gembira dan sihat. Nanti, hari raya haji, aku akan pulang ke kampung untuk berjumpa mereka. Tetapi mereka tidak akan pulang bersamaku. Terpaksalah aku menahan rindu pada mereka lagi. Mungkin bila sudah cukup duit aku nanti, aku boleh terus menetap di sana bersama kedua Quran buruk ku nanti. Doakan aku ya Diary.

No comments:

Post a Comment