I Am Sensitive

I Am Sensitive

Thursday, August 27, 2015

Pergilah Jauh Jauh



Hello Diary,

Salam rindu kepada engkau yang tidak pernah menyakiti hati aku. Salam hormat juga aku ucapkan kepada engkau. Hari ini sepatutnya aku puasa tetapi aku batalkan puasa aku. Padahal hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi untuk aku berbuka tetapi aku tidak sanggup lagi menunggu. Tiba tiba tidak menjadi lapar tetapi aku tahu aku mesti mengisi perut aku yang kosong dari pagi kalau tidak, mungkin aku jatuh sakit nanti. Dan aku seperti hilang segala semangat untuk menyambung puasa aku. 

Aku belajar sesuatu hari ini. Tidak pernah aku sangka dan duga aku masih belum belajar dari pengalaman. Hati manusia adalah daging hidup yang membantu untuk menghidupkan manusia. Hati manusia boleh merasa. Perasaan manusia harus dijaga. Ia tidak boleh dipermainkan atau dipersendakan. Hidup ini bagaikan medan perang yang harus kita tempuhi walaubagaimana susah sekali. Sepatutnya aku belajar dari kisah silam tetapi aku kalah dengan keadaan. Aku biarkan diri ini hanyut dibuai harapan yang tidak akan terjadi. Siapalah diri ini. Terasa bodoh sekali. Terasa amat sedih sehingga tidak dapat menahan air mata dari mengalir. Aku pura pura mengesat mata aku yang berkaca dalam perjalanan pulang.

Sungguh aku sudah kesal dengan keadaan. Sudah berapa kali aku rasa begini dengan orang yang sama. Hati terasa bagaikan disiat siat. Kalau boleh aku mahu menjerit sekuat hati aku supaya kasih dan sayang yang tinggal di dalam diri ini keluar semuanya supaya aku tidak lagi merasa walau secebis pun cinta padanya lagi. Aku berjanji, aku berjanji dengan diri aku yang aku tidak akan lagi merasa apa apa terhadapnya. Aku akan menanam rasa rasa benci pada dia. Akan aku buang jauh jauh perasaan kasih sayang aku terhadap dia dan aku akan pastikan bahawa dia tidak boleh lagi muncul dalam hidupku. 

Ini janji aku. Ini jugalah yang dia minta kerana dia pernah membohongi aku suatu ketika dulu. Dia kata dia mahu aku membenci dia. Ya, dulu aku tidak boleh membencinya tetapi sekarang aku akan cuba. Hati aku milik aku semuanya. Tidak akan aku memberi peluang lagi pada hati aku untuk menaruh harapan untuk apa apa lagi yang berkaitan dengan dia. Aku bersumpah dan aku berjanji. Tuhan, kalau ini yang sudah engkau tulis untuk riwayat hidup aku, aku rela dan aku terima. Mungkin agak keterlaluan jikalau aku bercakap seperti ini kerana sememangnya apa yang aku rasa adalah haram di sisi Islam. 

Jangan ada cinta lagi dalam hati ini. Bodoh sekali aku. Bagaimana aku boleh biarkan ini untuk berlaku. Apa masih tidak boleh belajar lagi dari kesilapan silam? Mahu apa lagi aku dengan dia? Sudah cukuplah wahai hati. Tidak usah lagi menyemai rasa sayang. Engkau sudah pulih dari luka lama, mengapa mahu mencari luka baru? Jangan menyakiti hati sendiri kerana akhirnya hanya engkau sendiri yang boleh mengubatinya. Tiada orang lain yang mampu dan akan menolong engkau.  Dengarlah wahai hati rintihan dari yang punya diri. Tidak sanggup lagi menahan sebak yang tidak ada kesudahannya. 

Belajar berhenti berharap dan jangan berharap pada sesiapa lagi. Mengharap adalah satu perbuatan yang boleh menyakitkan sekali dan satu hari nanti jikalau engkau tidak kuat lagi, engkau akan tersungkur ke bumi dan berhenti bernafas buat selama lamanya. Jagalah dirimu wahai hati. Biar tidak berkasih, biar tidak berkawan, asalkan jangan hancur hati. Bawalah diri jauh jauh wahai hati, biarlah segalanya berlalu untuk hidup yang baru. Jangan lagi duduk termenung kerana hanya akan mendatangkan kebingunggan kerinduan.

Semua harapan jauh dari nyata jadi kembalilah ke alam nyata wahai hati. Sudah hilang bertahun engkau menahan dahaga cinta kepada dia tetapi apa yang engkau dapat? Di saat saat ini, lihat apa yang terjadi? Apa dia tidak punyai perasaan? Teringin sangat engkau melihat wajah yang kau puja selama ini dan merasa kasih dan sayang dalam keredaannya. Sayanglah dirimu wahai hati, bersabarlah wahai hati, dia sebenarnya bukan NurKasihmu. Jangan anggap bisikannya penuh harapan kerana ia bukan. Engkau harus terima ini semua adalah utusan berdarah. Hapuskanlah cinta di dalam hatimu kerana cinta itu sudah menjadi jenazah. Hanya engkau sahaja yang boleh mengusung keluar jenazah cinta itu dari hatimu. Cubalah hati….cubalah…

No comments:

Post a Comment