It is 2 am in the morning and I am still up writing to you. I am sleepy and I don't know what to say to you but still I stubbornly stay awake hoping that ideas will come as I am typing these letters to form words that could make sentences. At 2 am in the morning, I always feel good writing because that is when it is most quiet. Perhaps...it is time to write in my mother tongue...
Sunyi dan sepi aku rasakan pada malam ini yang memberi peluang dan harapan untuk aku mengalirkan cerita-cerita yang berada di minda ke jari jemariku yang lantas menekan butang-butang di laptop ini membuka bicara untuk bacaan pembaca-pembaca setiaku.
Wahai sang Diary, percubaan pertamaku untuk menyusun huruf-huruf untuk menjadikan sepatah perkataan kepada sebuah ayat yang aku harapkan akan mengusik jiwa dan minda manusia-manusia yang begitu menitik beratkan tentang kehidupan.
Begitu lama aku tidak menulis di dalam bahasa ibunda sendiri dan kini, tiba-tiba aku dengan penuh ghairah mencuba hanya kerana aku mahu membuktikan kepada seseorang bahawa aku boleh. Diketawakan dan diejek, namun aku tidak langsung mengendahkannya. Aku suka bila dianggap tidak berupaya untuk membuat sesuatu kerana itu hanya akan membuatkan aku begitu bertekad untuk mencubanya bersungguh-sungguh. Amat memalukan jikalau aku tidak boleh menulis dalam bahasa ibunda sendiri sedangkan aku seorang pencinta bangsa dan bahasa.
Buku Melayu terakhir yang aku baca adalah Laskar Pelangi oleh Andrea Hirata. Pernah kau dengar tentang dia, Diary? Seorang yang berasal dari Balitong, yang begitu cantik bahasanya di dalam buku-bukunya yang membuatkan dia begitu popular. Aku ada dvd ceritanya dan aku juga ada buku-bukunya. Mungkin itulah sebabnya juga aku rasakan bahawa tulisan Melayu aku malam ini ada berunsurkan cara Indonesia sedikit. Sedang aku menulis kepada engkau, aku sendiri membaca apa yang aku tulis di dalam bahasa baku. Tapi itu juga apa yang aku belajar semasa di sekolah dahulu. Sebutan harus di dalam bahasa baku, dan rancangan-rancangan Melayu di Singapura terutamanya sekali yang berunsur pendidikan adalah di dalam bahasa Melayu baku. Mungkin agak janggal pada yang tidak biasa tapi apa aku peduli kerana ini adalah blog aku dan aku akan menulis dengan gaya yang aku senangi.
Sombong? Tidak...tetapi bukankah itu yang betul Diary? Kita tidak boleh menyenangkan semua orang kerana itu adalah perkara yang paling mustahil sekali di dunia. Kalau hidup hanya untuk menyenangkan manusia di sekeliling kita, akhirnya diri sendiri yang akan merana kerana apa sahaja yang kita lakukan adalah untuk kepentingan orang lain. Itu yang aku belajar dari seorang teman yang tidak berwajah. Cukup pandai dia berkata-kata menyelitkan "philosophy" yang aku tidak pernah tidak membacanya. Bijak sekali dia memilih untuk padankan dengan situasi-situasi harian di dalam hidupku. Anggun, itulah anggapanku terhadapnya. Jarang sekali aku bertemu dengan seseorang yang begitu lebih-lebih lagi di dalam dunia alam maya. (amboi...sukanya aku dengan kebolehan aku bertutur)
Alam maya, maknanya virtual reality. Aku baru belajar maknanya hari ini dari kamus aku yang hampir berlapok di atas rak-rak buku aku yang penuh dengan koleksi-koleksi untuk santapan minda dan jiwaku. Separuh koleksiku berada di Tangkak dan separuh lagi di Singapura, tempat lahirku. Beginilah keadaannya bila sudah berpindah randah. Aku terpaksa memulakan hidup baru setelah berasa amat selesa di negara orang kerana keadaan tidak mengizinkan. Masih berdarah lagi parut di hati cuma darahnya tidak mengalir lagi. Sebenarnya aku sedang ketawa melihat telatah aku yang seperti seorang penulis perasan sendiri. *ketawa*
Apapun keadaannya, aku suka menulis. Menulis adalah cara aku untuk melepaskan apa yang terbuku di hati yang tidak dapat aku menceritakan dari mulut. Aku lebih selesa menulis, mengalihkan pandangan dari mindaku ke bentuk tulisan yang berupakan puisi atau coretan. Jikalau aku menulis, aku rasakan bagai ingin menulis hingga ke akhir hayat. Panjang-panjang sekali coretan aku sebab cara itulah yang aku amat selesa sekali. Aku suka, suka menulis terutama sekali tentang pengalaman pahit dan manisku meniti hari-hari hidupku yang mungkin akan aku bukukan suatu hari nanti.
Apa pun yang aku rasa, aku pasti akan menulisnya. Cinta, itulah topic kegemaran aku. Jiwaku bukan sekeras batu, aku amat mudah tersentuh apabila berbicara tentang cinta. Cinta yang hanya aku dapat rasakan dengan naluri, nadi, jiwa dan hatiku. Sungguh enak bila dapat digenggam tetapi aku tahu, tiada yang kekal di dunia ini. Aku pasrah tengan nasib diriku mengenai cinta. Cinta-cinta yang pernah aku rasakan, semuanya tidak bertahan lebih dari 2 tahun. Sayang sekali semuanya pergi begitu mudah seperti mengambil gula-gula dari seorang bayi.
Wahai sang Diary, fahamkan engkau tentang perasaan diriku? Apa pun yang tersemat di dalam hati aku, tiada siapa yang dapat meneka kerana kita semua manusia. Kita tidak punyai kuasa yang boleh membaca minda dan hati seseorang. Aku tidak bersedih lagi, cuma aku terkilan. Aku rindu pada dia, tapi tidak pernah aku memberitahunya. Begitu senang aku menyelit-nyelitkan tentang dia di dalam Diary ini tetapi langsung aku tidak punyai keberanian mengakuinya. Mungkin aku susah untuk melafazkannya kerana aku tidak mahu dibayangi oleh perasan "syiok sendiri". *ketawa*
Tersenyum aku memikirkannya....yang aku tahu, cinta yang agung tidak perlu dilafazkan. Cukuplah dengan keikhlasan kita menerimanya seada mungkin dan memaafkan kesilapannya kerana cinta itu adalah sesuatu yang suci walaupun ia di dalam bekas yang berdebu. Ketahuilah teman, di dalam hati ini, masih ada lagi suka untukmu...yang akan bertukar menjadi sayang dan membesar kepada cinta jika keadaan mengizinkan...dan kita sama-sama tahu apa keadaanya sekarang...
PS: Terlungkup, terlentang and bergolek-golek aku ketawa....gerek sehh!! eheh...
No comments:
Post a Comment